Tuesday, March 11, 2014

5 Perkara Yang Merosakkan Wanita



Benarkah hati boleh menjadi sakit, retak dan hancur oleh perbuatan diri sendiri? Selama ini kita percaya bahawa faktor gangguan manusia di persekitaran boleh menjejaskan kesihatan hati. Perkataan pedas dan panas membuat hati sakit, sikap yang melahirkan perasaan marah dan geram juga punca hati kita tidak sihat. Mari lihat 5 PERKARA YANG MEROSAKKAN WANITA

1. Jangan resah dan gelisah.

Bukankah masih ramai manusia yang miskin, lapar dan sakit? Mengapa kesihatan dan kecantikan anda kini belum cukup untuk anda bersyukur dan reda kepada takdir Allah? Janganlah selalu mengeluh sebab duit yang diberi suami tak cukup untuk make-over penampilan anda kerana sesungguhnya tangisan Muslimah di Iraq yang kelaparan dan kehilangan suami lebih berat siksanya ditanggung badan.

2. Jangan sedih dan merasa menderita.

Hapuskan keduanya dengan istighfar. Anda masih ada tempat bergantung, mengadu dan memohon pertolongan yang abadi. Di sisi Allah segala kesulitan itu pasti ada penghujungnya. Dalam kesusahan ada kemudahan. Optimis dan berani menghadapi kenyataan adalah ubat bagi hati yang kesedihan. Kerana sesungguhnya masih ramai orang lain di sekeliling anda yang lebih berat lagi ujiannya dibandingkan dengan anda. Lihatlah kepada yang di bawah sana, anda boleh bersyukur. Jangan lihat ke atas, nanti anda banyak berkhayal dan menangisi nasib sendiri.

3. Jangan lemah dan malas.

Penyakit bagi diri yang sama bahayanya adalah malas. Duduk di depan kaca televisyen atau mendengar radio, muzik dan segala jenis hiburan selama berjam-jam boleh melalaikan anda. Terlalu banyak makan melemahkan badan, manakala banyak bergosip merosakkan hati dan pemikiran. Isilah masa anda dengan sesuatu yang bermanfaat. Berhiaslah, jagalah rumah dan anak-anak. Sebagai remaja aktifkan diri dengan sukan, ilmu dan ibadat. Berjanjilah pada diri anda setiap saat untuk satu zikir, setiap minit untuk satu idea dan setiap jam untuk satu tindakan.

4. Jangan kedekut dan pengecut.

Rezeki yang Allah beri bukan hak milik peribadi. Padanya ada hak orang miskin dan anak yatim. Jasa orang tua wajib dibalas dengan menolong bukan hanya dari segi kewangan saja, perhatian dan penjagaan ke atas mereka adalah tanggungjawab anda. Sebagai wanita yang salihah anda harus yakin bahawa keredaan Allah bergantung dengan keredaan kedua orang tua dan kemarahan Allah juga bergantung kepada mereka. Sifat pengecut adalah sifat tidak mahu bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan. Isteri adalah pemegang amanah suami. Kerjaya, rumahtangga dan anak-anak adalah urusan besar yang akan menentukan, selamatkah anda pada hari perhitungan nanti.

5. Jangan banyak berhutang.

Nafsu apabila dituruti segala kemahuannya tidak akan pernah puas. Selagi mulut manusia belum makan sekepal tanah (mati), ia tidak berhenti memuaskan nafsunya. Rumah, kereta, perhiasan, bercuti, shopping, semuanya dengan kad kredit. Bahkan khidmat along digunakan! Akhirnya kepuasan yang sementara itu bertukar menjadi bencana. Akibat kurang bijak menguruskan kewangan keluarga akhirnya hidup anda jadi tidak tenteram.

Jadikanlah hidup anda selamat, tenang dan bahagia dengan mengamalkan tips di atas. Ilmu itu berkat jika anda mampu merealisasikannya dalam kehidupan ini.

No comments:

Post a Comment